Mahkamah UIA Gagal Buktikan Mahasiswa Bersalah Terlibat Pilihanraya

Universiti Islam Antarabangsa (UIA) hari ini mendapati seorang pelajarnya tidak bersalah menubuhkan Parti Mahasiswa Negara (PMN) menjelang pilihanraya umum 8 Mac. Prosiding tatatertib selama dua jam terhadap Meor Isfandi Meor Azizan pagi tadi di kamar mahkamah memutuskan pelajar tahun akhir jurusan pengajian Islam dan sains politik itu "tidak bersalah".

Beliau dihadapkan dengan dua pertuduhan dalam perbicaraan tertutup itu - pertama memberikan kenyataan umum mengenai penubuhan dan agenda PMN di ibu pejabat Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) pada 7 Januari lalu dan kedua, dituduh menubuhkan parti itu.

Meor Isfandi memberitahu Malaysiakini petang ini, pertuduhan itu dijalankan kerana UIA berhujah beliau masih lagi mahasiswa di universiti berkenaan. Pendakwa universiti itu Mohamad bin Mos, yang juga timbalan pengarah unit undang-undangnya, menunjukkan klip video temuramah selama dua minit daripada Malaysiakini sebagai satu bukti bagi menyokong tuduhannya. Sekumpulan mahasiswa ke pejabat SPR awal tahun ini untuk mendaftarkan penubuhan PMN bagi menghadapi pilihanraya umum ke-12 (foto bawah). PMN, sehingga kini ia belum didaftarkan, mendakwa ia mendapat sokongan 2,000 pelajar institusi pengajian tinggi.

Meor Isfandi berkata beliau mengaku bahawa beliaulah lelaki yang ditemuramah dalam klip video itu tetapi mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dengan alasan telah graduan. "Pihak pendakwa membawa seorang saksi daripada staf Fakulti Ilmu Wahyu bagi menyokong dakwaannya. "Saksi itu bersetuju bahawa saya telah melengkapkan segala kewajiban-kewajiban saya sebagai seorang mahasiswa dalam fakulti berkenaan. "Cuma (menurut saksi itu) nama saya masih belum diluluskan oleh Senat kerana didapati status saya ialah digantung pengajian," katanya dalam satu kenyataan. Beliau juga membangkitkan isu tujuan sebenar universiti itu "menggantung pengajiannya" lebih dua bulan tahun ini sedangkan telah mengambil peperiksaan paling akhir pada November tahun lepas.

Penggantungan itu, katanya lagi, menyebabkan beliau dihalang mengambil transkrip penuh, tidak diluluskan oleh Senat statusnya sebagai pelajar tamat pengajian dan disekat menerima wang Perbadanan Tabung Pendirikan Tinggi Nasional (PTPTN). Meor Isfandi menambah, menurut peraturan disiplin, UIA boleh menggantung seseorang mahasiswa paling lama selama tujuh hari bagi tujuan siasatan. Dalam penghujahannya juga, Meor Isfandi berkata UIA tidak menjelaskan secara spesifik maksud "pelajar" dan "tamat pengajian". Universiti itu berhujah, tambahnya, takrif pelajar dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti yang dirujuk oleh Meor Isfandi tidak terpakai kerana UIA didaftarkan bawah Akta Syarikat.

"Saya akan menunggu selama seminggu untuk mendapatkan laporan bertulis hasil prosiding (hari ini). "Kemudian, saya akan berbincang dengan pihak disiplin UIA dan penasihat guaman saya untuk tindakan lanjut," katanya.

0 comments:

>>Followers