Salam Pictures, Images and Photos

SURAT TERBUKA BUAT AYAHANDA SANUSI: BEBASKAN UIA DARI CENGKAMAN POLITIK

Penubuhan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada tahun 1982 adalah salah satu nostalgia paling indah dalam jaluran sejarah pemberdayaan sumber manusia muslim yang dinamis dan pragmatis. Ia adalah hasil konsensus negara-negara anggota Organization of Islamic Conference (OIC) dalam rangka untuk melahirkan insan-insan soleh yang punyai kompeten tiggi dalam pelbagai lapangan duniawi yang semakin kompetitif.

Namun, tika tahun silih berganti, sebagaimana institusi pengajian tinggi lain di Malaysia, intervensi politik semakin ketara berusaha untuk menjadikan gedung ilmu ini sebagai sebuah tapak yang strategik untuk menyuntik doktrin-doktrin batil dan merugikan. Bahkan usaha ini semakin hari semakin diperhebat dengan penerapan nilai-nilai songsang dalam pemikiran mahasiswa seawal hari pertama mereka menjejakkan kaki ke universiti.

Buktinya cukup banyak. Dan jelas. Minggu orientasi (UIA:Taaruf Week) pelajar baru diisi dengan pelbagai program berbentuk dakyah dan suntikan isme yang secara tidak langsung (dan langsung) mempengaruhi cara fikir dan tindak pelajar. Mereka didoktrinkan dengan ideologi pro-pemerintah sehingga ia menyekat kebebasan mereka untuk berfikir secara kreatif dan konstruktif.

Jentera-jentera pro-kerajaan juga tidak pernah lepas tangan dalam usaha untuk mengkader juak-juak baru mereka. Setiap tahun, parti pemerintah akan manganjurkan sebuah bengkel peringkat nasional untuk tentera-tentera mereka (bergelar aspirasi) bertujuan untuk merencana strategi-strategi politik mereka demi menguasai badan kepimpinan pelajar melalui pilihanraya kampus. Dana yang besar diberikan kepada tentera aspirasi di setiap kampus agar kemenangan berpihak kepada mereka.

Demi merealisasikan cita-cita mereka, mereka bersekongkol dengan pentadbiran universiti dan mengoptimakan segala ruang kekuasaan yang mereka miliki. Kerana itu, mereka sanggup untuk mencipta polisi dan peraturan yang represif terhadap mahasiswa yang tidak senada dengan mereka termasuklah peraturan pilihanraya kampus yang tidak demokratis, penamaan calon sebanyak 2 kali, pengurangan peruntukan untuk aktiviti mahasiswa yang dianjurkan oleh badan pro-mahasiswa, pengadilan berat sebelah aktivis-aktivis mahasiswa dan sebagainya.

Kami terkilan dan kecewa apabila UIA dilibatkan dalam sengketa polititik antara beberapa tokoh negara baru-baru ini. Imej UIA tercalar. Integritinya tercabar. Hal ini akan terus memandulkan UIA daripada maju dan membangun. UIA, dengan statusnya sebagai sebuah universiti antarabangsa yang islamis seharusnya tidak dilibatkan dengan renyah politik kotor. Ia harus berdiri gah untuk terus membangun sebagai sebuah institusi ilmu yang agung.

Kami optimis bahawa hal ini terjadi kerana beberapa jawatan di peringkat pentadbiran UIA dipilih melalui tingkap politik. Tidak berdasarkan kelayakan akademik yang tinggi. Atas faktor ini, pembinaan dan pembangunan UIA sebagai sebuah institusi ilmu yang berorientasikan ajaran Islam terbantut dan tercalar kerana terpaksa melayani karenah politik yang nyata tidak menguntungkan universiti.

Justeru, kami berpandangan bahawa inilah masanya yang paling sesuai untuk kembali meletakkan UIA di atas mercunya yang tersendiri. Sudah tiba masanya setiap jawatan yang ada samada di peringkat pentadbiran mahupun akademik perlu diberikan berdasarkan kualiti akademiknya yang tinggi dan tidak terbanding.

Dengan itu, dengan seluruh kerendahan hati kami, demi disiplin ilmu yang kami junjung, dan kecintaan kami yang tidak berbelah bahagi terhadap UIA, kami memohon agar ayahanda Sanusi bersama-sama warga pentadbiran tertinggi UIA yang lainnya mula serius untuk memikirkan jalan dan pendekatan terbaik untuk membebaskan UIA daripada segala bentuk intervensi politik luar yang merugikan dan menjahanamkan institusi UIA sebagai sebuah gedung ilmu yang terbilang.

Sekian, terima kasih.

Yang Benar,

Zulfattah Ibrahim

Anakanda UIA

0 comments:

>>Followers