Salam Pictures, Images and Photos

SELAMAT DATANG ADIK-ADIK!

We Unite for Islam (WUFI) mengucapkan sekalung tahniah dan selamat datang kepada mahasiswa baru ambilan 2008/2009 yang selamat mendaftarkan diri dan menjalani program Minggu Ta’aruf pada 1 Julai 2008. WUFI sebagai sebuah gerakan mahasiswa di kampus UIAM Gombak amat mengalu-alukan kedatangan dan kehadiran mahasiswa/siswi baru ini yang bakal menjadi sebahagian daripada tulang belakang kejayaan Universiti Islam Antarabangsa sebagai institusi pendidikan tinggi terunggul di Malaysia dan sekaligus bakal mencorak dan mewarnai perjuangan gerakan mahasiswa di Negara ini.

WUFI ingin menyeru kepada semua mahasiswa/siswi baru supaya memanfaatkan masa sepanjang berada di bumi Taman Ilmu dan Budi ini dengan sebaiknya. Tidak hanya terlalu menumpukan kepada kejayaan dan kecemerlangan akademik semata-mata, tetapi lebih penting adalah membangun kualiti diri daripada aspek intelek, kepimpinan, akhlak dan jatidiri. Ini selaras dengan falsafah pendidikan Negara yang telah ditekankan dalam titah Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah, baru-baru ini yang menyentuh bahawa rakyat tidak sepatutnya terlalu taksub mencapai kecemerlangan akademik semata-mata sehingga mengabaikan bidang lain yang turut membantu membentuk modal insan seorang pelajar (Utusan Malaysia, 29 Jun 2008).

Mahasiswa sepatutnya menggunakan masa di kampus untuk membangunkan seluruh potensi diri dengan terlibat dalam persatuan-persatuan pelajar seperti SRC, LAWSOC, Ma’ruf Club dan sebagainya. Selain itu, mahasiswa tidak sepatutnya menjadi kera sumbang dengan tidak mengambil kira isu-isu di dalam kempus yang berlegar sekitar hak dan kepentingan mahasiswa dan sebagainya. Mahasiswa perlu sentiasa responsif apabila hak dan kepentingan mereka dicabar dan dicabuli oleh mana-mana pihak.

Walaupun berada di kampus, mahasiswa tidak sepatutnya melupakan tanggungjawab sosial mereka kepada masyrakat dengan sentiasa mengambil berat perkembangan isu semasa yang berlingkar di sekitar masyarakat. Mahasiswa sepatutnya memainkan peranan menyumbang suara dan buah fikiran dalam mengatasi masalah rakyat seperti dalam isu kenaikan harga minyak dan bahan bakar, kenaikan tarif utiliti seperti elektrik dan air, krisis bahan makanan, peningkatan kadar jenayah dan lain-lain.

WUFI mendoakan agar semua mahasiswa baru dapat menyesuaikan diri dengan suasana kampus dan tidak berlaku sindrom culture shock yang akhirnya menyebabkan mahasiswa terus layu dan dibawa arus keseronokan semata-mata. Semester 1 merupakan antara semester paling sibuk di kampus kerana pada semester inilah Majlis Konvokesyen akan berlangsung, program-program mega Persatuan-persatuan pelajar diadakan dan paling penting pilihanraya kampus yang merupakan platform penting menetukan halatuju dan masa depan gerakan mahasiswa di UIAM. Selamat maju jaya daripada We Unite For Islam!

0 comments:

>>Followers