NGO Feminis Islamis, Liberal wajar duduk semeja, kata Shafie
Kuala Lumpur 1 Sept 07:55a.m │ Isu hukuman sebatan bekas model, Kartika Dewi Shukarno yang menjadi cetusan kepada perbincangan hukuman hudud agama Islam di Negara ini dilihat semakin mendapat perhatian.
Parti Politik, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan perkumpulan berteraskan agama suci tersebut terdorong untuk membincangkan isu berkenaan dari pelbagai sudut pandang sama ada sistem, pelaksaan dan isu sampingan yang turut menjadi polemik.
Tidak kurang juga beberapa NGO yang berpaksikan fahaman feminisme turut mempamerkan keprihatinan mereka terhadap isu yang didakwa “melanggar hak asasi manusia” tersebut.
Pengarah Perhubungan Luar dan Hal Ehwal Semasa Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Mohd Shafie Hashim menggesa NGO Islamis dan Liberalis yang didokong oleh wanita untuk duduk semeja bagi mencari kata sepakat dalam memperjuangkan isu-isu yang melibatkan wanita.
“Saya melihat isu sebatan Kartika kini menjadi isu dominan gerakan wanita sama ada gerakan yang bersifat Islamis atau liberalis. Pembahagian dua blok gerakan ini menunjukkan dua matlamat dan pelaksanaan yang berbeza namun menuju satu titik pertemuan untuk mencapai suatu matlamat iaitu memperjuangkan hak-hak dan isu-isu wanita.
Saya kira sudah sampai masanya gerakan-gerakan wanita ini duduk semeja membincangkan isu wanita dengan lebih serius berdasarkan prinsip-prinsip Islam,”ujar beliau.
Beliau yang juga pengerusi Pro-Mahasiswa Nasional menegaskan bahawa masyarakat Malaysia yang semakin hari semakin dilihat jauh dari pegangan agama suci berkenaan memerlukan pihak-pihak terbabit agar menjalankan tugas utama mereka dengan lebih strategik dan agresif supaya seluruh masyarakat dapat melihat “Islam sebagai solusi” kepada permasalahan yang berlaku.
Sambil menekankan tiga prinsip Perpaduan Nasional gagasan tokoh politik Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, beliau juga dengan menamakan beberapa NGO dan perkumpulan yang diterajui oleh wanita mengharapkan mereka bersatu dalam menyatakan kata sepakat.
“Dewan Muslimat Pas, Nisa’, Sister In Islam (SIS), Srikandi Gerakan Muslimat Muda (SIGMA), Hal Ehwal wanita Islam (HEWI) dalam badan-badan persatuan mahasiswa Islam seperti HEWI PMIUM mahupun persatuan bukan Islam dan semua gerakan-gerakan yang memperjuangkan hak-hak wanita perlu bersatu untuk menyelesaikan hal ini,”ujar beliau lagi.
Dalam pada itu, gagasan Perpaduan Nasional seperti yang dinyatakan oleh tokoh politik dan agama berkenaan secara asasnya meliputi tiga syarat utama iaitu ‘kembali kepada kehidupan beragama’ iaitu meletakkan Islam sebagai landasan kehidupan, ‘kerajaan berjiwa rakyat’ dan ‘perlindungan keselamatan rakyat daripada jenayah’.
Tambah beliau lagi, perbincangan terbuka termasuk dialog dan diskusi ilmiah sangat diperlukan oleh masyarakat dalam usaha memberi kesedaran dan pemahaman dalam sesuatu isu yang berlaku. Beliau berpendapat gerakan dan perkumpulan yang diterajui oleh mahasiswi juga perlulah memainkan peranan.
“Saya mencadangkan front-front utama mahasiswi seperti SIGMA, Gabungan HEWI Persatuan Mahasiswa Islam seluruh Malaysia, pihak mahasiswi dari front non-Muslim seperti Gerakan Demokratik Belia dan Pelajar Malaysia (DEMA) dan Persatuan Kristian Varsiti (PKV), dan gabungan HELWA Majlis Perwakilan Mahasiswa seluruh Malaysia mengadakan suatu perbincangan terbuka peringkat nasional berkenaan isu sebatan terhadap Kartika ini.
Perbincangan tersebut mesti meliputi soal perundangan Islam, hak-hak wanita dalam Islam, maruah wanita Islam dan penerangan terhadap kekeliruan masyarakat dalam memandang isu ini,” respon beliau yakin.
Sebelum mengakhiri ulasan beliau, Shafie mengakui bahawa suara gerakan “Feminis Islamis” semakin jelas terasa sejak kebelakangan ini namun menasihati perkumpulan mahasiswi berkenaan agar terus konsisten disamping tidak “hanya bersifat retorik dan pandai berslogan”.
Terdahulu, pengerusi SIGMA, merangkap Naib Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Fasihah bt Mohd Pauzi dengan yakin mengajak NGO dan pihak berwajib dalam memberi pemahaman berkenaan Islam agar mencontohi konsep ‘dakwah’ yang disampaikan oleh filem pendek ‘Halal’ dalam 15 Malaysia.
Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Agung Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM), Shahrizul Ayuni Zulkiply semalam memaklumkan kepada media bahawa pihaknya akan menjemput Kartika bagi memberi penjelasan berkenaan isu yang dihadapi bekas model terbabit termasuk beberapa NGO seperti Nisa’ dan SIS bagi menyatakan respon serta pandangan dalam suatu program terbuka di universiti tersebut.
Namun, perkara tersebut dimaklumkan masih lagi “dalam perbincangan”.
-mahasiswakini
0 comments: