Gerakan Mahasiswa Lembah Klang simpati, sedia bantu kewangan

Gombak 4 Julai 06:34a.m│Gerakan Mahasiswa seluruh Lembah Klang menyatakan simpati mereka terhadap nasib yang menimpa kedua tertuduh dalam kes contengan protes ‘anti-Rosmah’ di Universiti Malaya (UM).

Selain sokongan dana, kata Presiden Kelab Maaruf Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Faridzul Nasaruddin, pihaknya akan membantu menyebarkan maklumat kepada pelajar universiti berkenaan berhubung kes tersebut.

Timbalan Presiden 1 persatuan tersebut pula Muhammad Zaki b. Shukery, menyatakan kesediaan mereka untuk membantu dari sudut kewangan.

“Kami bersedia dalam memberikan bantuan dan sedaya upaya untuk mengumpulkan dana kewangan untuk ringankan beban rakan kita di UM,”ujar beliau.

Dalam pada itu, Pengerusi Pro Mahasiswa universiti berkenaan, Muhammad Nasron b. Md. Din, menyatakan pelbagai keraguan boleh dibuat atas kronologi kes dan mendesar pihak berkuasa agar kes berjalan dengan adil dan mengikut prosedur.

“Pelbagai keraguan boleh dibuat, mahasiswa meminta prosedur kes berjalan dengan lancar tanpa ada unsur berat sebelah kerana ini melibatkan imej Datin Seri Rosmah dan hak keadilan mahasiswa, jika didapati tertuduh dizalimi, mahasiswa tidak teragak-agak untuk keluar bagi menyatakan bantahan,”ujar beliau.

Seperti yang dilaporkan Malaysiakini, Presiden Ikatan Studi Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (ISIUKM), Mohd Idris Mohd Yussoff juga menyatakan kesediaan bagi mengutip derma bantuan kewangan.

Beliau berkata kutipan tersebut dimulakan di kalangan kira-kira 800 ahlinya.

Di Universiti Putra Malaysia (UPM) pula, Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Putra Malaysia (PMIUPM) akan melancarkan kutipan derma kira-kira kepada 150 ahlinya sebelum diperluaskan kepada pelajar seluruh fakulti dan kolej kediaman.

Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Shazni Munir Ithnin menyatakan terdapat juga sokongan dari gerakan kampus dari luar Lembah Klang di samping Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang berlandaskan hak asasi dan keadilan.

“Dan lebih memeranjatkan, kampus-kampus di bahagian utara dan timur pun turut memberikan sokongan walaupun tidak secara terbuka. Penulis melihat ini sebagai suatu yang positif ke arah kebangkitan aktivisme kemahasiswaan.

Dan tidak sekadar itu, NGO-NGO yang turut terkehadapan dalam soal hak asasi & keadilan ini juga turut menyatakan sokongan kepada mahasiswa untuk berdepan dengan isu ini,”tulis beliau dalam blognya, Perubah Zaman.

Kedua tertuduh iaitu Mohamad Izzuddin Hilmi Mohd Zaini dan Muhammad Syahrul Deen Ahmad Rosli dikhabarkan mempunyai masalah kewangan yang agak serius, ujar wakil keluarga mereka.

Dalam pada itu, Naib Presiden PMIUM, Mohd Aizat Salleh merangkap Exco kerohanian Majlis Perwakilan Mahasiswa UM (MPMUM) menyatakan persatuan tersebut dalam rangka membuat kutipan derma besar-besaran dalam kampus disamping sokongan dari luar.

“Dana yang diperlukan lebih kurang RM 50 ribu termasuk yuran guaman secara kasar dan secara peribadi ibu bapa Izzuddin dan Syahruddin sememangnya mengharapkan bantuan terutamanya dari sudut kewangan daripada semua,”ujar beliau.

Dipercayai juga ibu bapa kedua tertuduh terpaksa membuat pinjaman daripada beberapa pihak bagi membayar ikat jamin.

Dalam perkembangan berkaitan, kedua tertuduh akan memulakan pengajian bagi semester baru minggu hadapan kerana belum mendapat arahan secara rasmi berkenaan status mereka di universiti tersebut.

Penasihat undang-undang Hal Ehwal Pelajar UM Thanavathi K Krisnan menyatakan secara lisan bahawa kedua tertuduh kemungkinan akan digantung pengajian, tetapi sehingga kini pihak beliau belum mengeluarkan apa-apa kenyataan rasmi.

Terdahulu, pihak Keselamatan UM dipercayai telah dipaksa menyerahkan kes contengan protes ‘anti-Rosmah’ di universiti tersebut kepada pihak polis tanpa melalui kebenaran dan makluman pentadbiran universiti.

Kes contengan protes ‘anti-Rosmah’ telah mengheret 2 mahasiswa UM ke mahkamah dan telah diikat jamin sebanyak RM5500. Kes akan dibacakan semula pada 13 Julai nanti.

Polis masih mencari 3 orang suspek bagi membantu siasatan iaitu Presiden PMIUM, Shazni Munir Ithnin di samping Mohd Aizat Roslan dan Mohd Saufi Jelani.

Sehingga kini, beberapa pihak dan pemerhati telah menyatakan keraguan kepada kronologi kes termasuk tingkah-laku polis dan prosedur penahanan serta hak geledah terhadap premis awam badan legislatif tersebut.-mahasiswakini

0 comments:

>>Followers