Pilihanraya & Kepimpinan
Pilihanraya di Malaysia, sebagaimana negara-negara demokratik lain, merupakan mekanisme utama dalam menentukan kepimpinan negara bagi tempoh 5 tahun satu penggal. Maka, secara prinsipnya, jatuh bangun seseorang pemimpin di Malaysia hanya selayaknya ditentukan oleh tangan dan ‘mahu’ rakyat.
Dari perspektif Islam, amalan pilihanraya diterima sebagai satu metod sah. Namun, ada pra-syarat yang perlu dipatuhi. Islam telah menggariskan beberapa panduan dalam meneliti ciri-ciri seorang pemimpin. Allah berfirman:
“Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu supaya memberikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan menyuruh kamu apabila menetapkan hukum di antara manusia, kamu menetapkannya dengan adil…”
[an-Nisa’:58]
Bertunjangkan ayat ini, ia seharusnya diambil untuk dijadikan neraca yang cukup jelas dalam memilih pemimpin yang bakal menerajui negara: AMANAH. Ibn Taimiyyah menafsirkan soal amanah dalam ayat tersebut kepada 2 sudut;
1] mengenai kekuasaan - melantik orang yang paling baik sebagai pemimpin. Hal ini merangkumi sikap seseorang yang cenderung kepada ilmu pengetahuan mengenai keadilan berpaksikan al-Quran & as-Sunnah serta mampu melaksanakan hukum Allah.
2] mengenai harta - pemimpin yang beramanah tidak akan mengagihkan harta milik rakyat mengikut hawa nafsu kepada kaum keluarganya serta tidak akan menyalurkan harta tersebut untuk kegunaan yang haram seperti pembinaan pusat-pusat judi, kilang-kilang arak dan sebagainya.
Selain amanah, Rasulullah SAW juga meletakkan beberapa garis panduan lain untuk memilih seseorang pemimpin antaranya seseorang itu mestilah terpilih atas dasar keimanan dan ketaqwaannya yang tinggi, adil, sabar & benar. Ia penting untuk memastikan negara di bawah kepimpinannya mampu melaksanakan konsep ‘amar ma’ruf nahi mungkar’ tanpa mengkesampingkan matlamat memajukan negara.
Justeru, untuk memaknakan agenda besar ini, maka kita sebagai pengundi juga harus memperhalusi ciri-ciri seseorang pemimpin menurut tinta Imam Al-Ghazali yang menekankan bahawa pemimpin harus mempunyai daya intelek yang tajam, berani, sayang pada ahli serta tegas & benar-benar berazam.
Oleh kerana isu kepimpinan negara berkait rapat dengan urusan agama, HARAPAN keluaran ini menyarankan agar kita memilih pemimpin di atas asas-asas agama dan pertimbangan moral yang sewajarnya.
0 comments: